Pages

My Fan Club...jomla join...

Jom Klik

Thursday, November 16, 2017

Coretan Khas Buat Si Wira Merah - BFA 5426

Inilah kereta pertama saya dan suami dulu. Saya beli kereta Wira terpakai ni pada tahun 2002. Masa ni rasa sangat bangga dah dapat memiliki kereta sendiri walaupun kereta terpakai. Maklum la kerja baru tak sampai setahun , kami dah boleh beli kereta sendiri. Tahun buatan Proton Wira ni seperti tertera di dalam geran asal dibuat pada tahun 1997. Agak lama dan boleh dikira 'old skol' dah wira saya, sekarang ni dah berusia 20 tahun…
Masa mula-mula beli dulu, color asal kereta ni biru, kemudian papa pergi cat warna merah terang atau masa tu tengah glamer color "Ferrari Red". Nak beli Mitsubishi Evo tak mampu, jadi papa ubah suai jadikan wira merah ni seperti Mitsubishi Lancer, lagi pun awal tahun 2000 dulu tengah naik zaman "Auto Show", dari wira boleh jadi Lancer, dari kancil boleh jadi Daihatsu, dari Waja boleh jadi Mitsubishi EVO 4, dari Iswara boleh jadi Mitsubushi Galant VR4, macam-macam jadianlah kereta buatan Malaysia tahun tu. Minat papa masa tu tengah hias kereta, mama ikutkan dan layan je. Setiap kali ada Auto Show masa tu, kami akan pergi tengok, konon-konon cari idea nak hias kat Wira kesayangan kami ni.
Sebabkan Proton Wira ini jugalah kami jumpa ramai kenalan, ye la papa pun banyak join ahli kelab kereta masa tu, Kelab Proton Wira la, ProtonMania la, macam-macam kelab ada ibarat cendawan tumbuh masa tu. Dengan mama pun terbabit sekali, tapi masa tu best join kelab kereta ni sebab semua sporting, boleh dikatakan setiap bulan ada aktiviti bersama famili, masa ni kami saling mengenali, pasangan dan family masing-masing pun semua sporting dan tidak sombong. Walaupun pertama kali jumpa dah boleh borak-borak macam dah kenal lama, begitulah dulu indahnya zaman berkelab kereta hihihi...
Dengan Proton Wira ini jugalah kami besarkan anak-anak seramai 4 orang. Dari zaman sebelum kahwin sehinggalah kahwin dan sehingga anak nombor 4, kami masih gunakan Wira Merah ni. Dengan Wira Merah ini jugalah kami ulang alik pergi kerja setiap hari, pergi jalan-jalan hujung minggu, balik kampung setiap kali cuti, senang cerita dengan Proton Wira inilah kami bergerak ke mana sahaja. Masa ni memang papa jaga Wira Merah ni dengan baik, ye lah kereta utama untuk kegunaan harian kami. Pantang ada bunyi sikit, mesti papa akan bawa pergi cek kat bengkel. Servis memang tip top papa jaga. Dari aksesori luaran sehingga aksesori dalaman, boleh dikatakan 100% papa tukar sepenuhnya kepada aksesori Mitsubishi Lancer. Berpuluh ribu dah papa habis kat Wira Merah ni. Kalau dulu masa kerja dan tinggal di kolej dalam UiTM Shah Alam, pak guard memang dah kenal kereta ni, bayangkan 12 tahun kereta ni keluar masuk setiap hari dalam UiTM. Memang sebab Wira Merah ni jugalah ramai orang senang ingat dan orang selalu tegur. Sebab tu la kami sayang sangat kat Wira Merah ni, kami jaga dia sebaik mungkin walaupun dah berusia. Banyak kenangan dan jasa Wira Merah ni kepada kami.
Ramai yang tertanya-tanyakan, kenapa kami tak tukar-tukar kereta sampai berbelas-belas tahun pakai Wira Merah ni? Ada sebab dia... Ni mama nak citer sedih pulak. Bohonglah kalau kami cakap, kami takde keinginan nak tukar kereta baru. Bohonglah kalau kami cakap kami takde keinginan nak tukar kereta lebih besar dan selesa untuk anak-anak. Memang semua tu kami rasa dan kami memang sangat perlukan kereta baru. Memandangkan Wira Merah ni dah berusia dan keluarga kami bertambah, memang satu keperluan untuk kami cari kereta baru masa tu. Setiap kali nak balik kampung, nak balik Kelantan lagilah kami terasa. Setiap kali nak balik kampung juga, papa kena pastikan Wira Merah ni dalam keadaan yang baik untuk kami melalui perjalanan yang jauh.
Kenapa kami tak beli je kereta baru? Ok kami mengakui zaman awal perkahwinan dulu, kami memang banyak melakukan kesilapan terutama dalam soal kewangan. Kami tidak merancang kewangan kami. Jadi bila masa nak tukar kereta baru, kami cuba buat pinjaman tapi pinjaman kami tak lepas disebabkan komitmen pinjaman kami tinggi. Pinjaman rumah dan pinjaman peribadi, masa ni pinjaman peribadi cukup senang untuk kakitangan kerajaan, hantar borang permohonan waktu pagi, petang tu dah tau pinjaman telah diluluskan. Orang bank dulu memang kejar je staf kerajaan ni dengan pelbagai tawaran pinjaman dari pelbagai bank. Kami masa tu banyak pinjaman kononnya dengan duit pinjaman ni nak buat modal untuk bisnes. Tapi kami masa tu banyak salah pilih bisnes menyebabkan kami kerugian beratus ribu ringgit. Bila sampai masa nak buat pinjaman untuk beli kereta baru, masa ni masalah yang menimpa, pinjaman kami tidak dapat diluluskan, bukan satu bank malah lebih dari 5 buah bank, semuanya dengan alasan yang sama, komitmen bulanan kami tinggi.
Paling kami terasa bila tengok kawan-kawan sekerja kami dah tukar kereta baru, balik kampung setiap kali raya je, adik beradik yang lain pun dah bawa balik kereta baru, sampaikan ada adik beradik kami dah tukar 2 kali kereta baru, kami masih lagi pakai Wira Merah ni. Sampai ada adik beradik tanya kenapa kami masih dok pakai Proton Wira ni, kenapa tak beli kereta baru? Allahu masa ni rasa malu, rasa hina, rasa rendah diri sangat...Mereka tidak tahu masalah kami, bukan kami tak nak tukar kereta, memang kami nak sangat tapi bukan setakat kereta besar, nak buat pinjaman nak beli Proton Saga BLM masa tu pun tak lepas-lepas. Memang kecewa tapi kami terima dan sedar kesilapan kami masa tu. Jadi dari situ kami cari jalan bagaimana nak selesaikan masalah kami ni. Kami kena cari pendapatan tambahan untuk menampung kos sara hidup kami sekeluarga dan juga untuk meringankan beban kami untuk menyelesaikan hutang-hutang yang ada.
Dah panjang ye cerita pasal Wira Merah ni... Ok cukuplah dulu sedikit sejarah Wira Merah kami ni. Mesti ramai yang tertanya-tanyakan Wira Merah kebanggaan kami tu ada lagi ke sekarang ni? Ya mestilah ada lagi, sayang nak jual Wira Merah ni sebab bagi kami ia ada "sentimental value" yang buatkan kami sayang sangat nak jual. Selepas dapat Honda CRV percuma dari Tupperware 3 tahun lepas , memang ramai yang berminat nak beli Wira Merah tu tapi kami ambik keputusan tak nak jual. Biarlah ia jadi kenangan dan sejarah buat kami sekeluarga.
Sekarang Wira Merah tu ada je parking kat depan rumah ni, dah tak merah dan tak segah seperti dulu, dah tukar warna lain sekarang ni. Biarlah anak-anak kami tengok dan tahu bahawa satu masa dulu, Wira Merah inilah yang berjasa kepada dia orang, bawa dia orang ke hulu ke hilir dengan Wira Merah ni. Susah senang kami sekeluarga dulu dengan Wira Merah ni la, sebab Wira Merah ni jugalah memberikan kami satu semangat untuk berusaha lebih keras. Sebab Wira Merah ini jugalah hidup kami indah dan bahagia seperti orang lain juga. Sebab Wira Merah ini jugalah kami rasa seperti naik Mitsubishi Lancer. Dan sebab Wira Merah ini jugalah membuatkan kami rasa bangga dan menjadikan salah satu motivasi besar buat kami untuk berjaya sehinga ke hari ini.....
*** Tunggu sambungan citer kami, bagaimana kesabaran kami sangat berbaloi tunggu nak dapat kereta baru, rupanya Allah nak bagi hadiah yang lebih besar kepada kami...








www.tips-fb.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...